Blog alin

Friday 3 August 2018

Bekas rakan setugas kongsi kenangan ketika bertugas bersama Datuk Mahadzir Lokman di TV3



Bekas rakan setugas kongsi kenangan ketika bertugas bersama Datuk Mahadzir Lokman di TV3  | Mula menyertai TV3 pada tahun 1984, kelibat Datuk Mahadzir Lokman akan sentiasa dikaitkan dengan stesen televisyen swasta pertama Malaysia ini.Sebelum bergelar pembaca berita , Mahadzir terlebih dahulu menimba ilmu sebagai wartawan penyiaran. Sejarah panjang yang dimilikinya dengan TV3 turut membolehkan beliau mencipta nama dalam bidang pengacaraan melalui beberapa program terbitan stesen tersebut. Malah paling membanggakan apabila Mahadzir yang cukup terkenal dengan sikap menepati masa ini, turut menjadi penyampai berita Melayu dan Inggeris pertama Tv3.

Tidak sekadar menjadi ikon stesen televisyen tersebut suatu ketika dahulu, tanggungjawab yang digalas Mahadzir dalam melahirkan pembaca berita dan pengacara terkenal negara pada era 90-an juga akan terus dikenang rakan sekerjanya. Sehingga nama-nama besar dalam dunia pengacaraan yang turut memulakan kerjaya mereka di TV3 seperti Datin Seri Normala Samsudin , Ezzah Aziz Fawzy, Norfarahin Jamsari dan ramai lagi masih menggelarkan dia sebagai mentor buat kerjaya mereka.

 JOHAN ISHAK 
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima, “Datuk Mahadzir atau lebih mesra dengan panggilan Datuk Dale, merupakan satu ikon besar di dalam industri TV terutamanya TV3. Beliau adalah epitome pengacara yang berketrampilan profesional yang disegani ramai. Dari pihak pengurusan Rangkaian Televisyen Media Prima, kami dengan rasa pilu, mengucapkan takziah kepada keluarga beliau. “Saya secara peribadinya, mengenali dan berurusan dengan beliau semasa beliau adalah Pengerusi Balai Seni Negara. Beliau adalah seorang yang tulus dalam apa jua usaha dalam meningkatkan industri kreatif negara.”

NURFARAHIN JAMSARI 
“Pengalaman mengacarakan program bual bicara Sekapur Sireh pada tahun 1987 bersama arwah adalah satu momen yang istimewa buat saya. Saya banyak belajar daripadanya malah dia juga seorang senang berkongsi ilmu. “Dia dah saya anggap seperti abang, mentor, idola malah sering menasihati anak-anak saya tentang pelajaran. Dia tiada galang ganti. “Sudah tentu pemergian dia meruntun hati saya. Seorang yang istimewa dan berbakat dalam bidangnya. Moga rohnya diberkati Tuhan.”

DATIN SERI NORMALA SAMSUDIN 
“Sekitar 1993-1994, dia merupakan guru dan mentor saya. Mengajar mengendalikan siaran secara langsung dan mendidik saya menjadi seorang pengacara yang berjaya. Memberi tips bagaiamana menjadi pengacara majlis-majlis rasmi dan mengajar protokol apabila melibatkan kerabat dan orang kenamaan. “Kelebihan dirinya ialah pandai pelbagai bahasa dan fasih bahasa Perancis. Sampai sekarang tiada siapa yang boleh menggantikan tempatnya. Dia seorang yang tegas tapi pada masa yang sama suka berseloroh dan bergurau. Pengalamannya sangat kami hormati. Dia guru yang amat baik dan pentingkan disiplin. “Abang Dale guru yang amat saya segani dan sanjungi. Rasa sebak dalam hati namun Allah menyayangi dan memanggilnya di hari yang amat baik ini, hari Jumaat. Bersemadilah Abang Dale di sana, Moga Allah rahmati rohnya dan di tempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman, Amin.

EZZAH AZIZ FAWZY 
“Kami wartawan muda waktu menganggap arwah sebagai abang. Dia seorang yang suka berjenaka tapi ada masanya kami takut apabila dimarah atas sebab-sebab tertentu. Dulu saya selalu berasa gemuruh setiap kali tampil membaca berita utama pukul 8 malam tapi dia akan mententeramkan saya dengan lawak jenakanya. Jadi, muka kita akan ceria sebelum betul-betul ke udara. “Abang Dale sangat pemurah dan penyayang. Dia kerap membawa kami wartawan muda ini di dalam keretanya beramai-ramai sekiranya ada majlis yang berlangsung di hotel. Itu yang menyeronokkan sebab maklumlah kami budak baharu dan seronok apabila ada majlis-majlis begitu.

“Satu perkara yang menjadi ingatan kepada saya ialah kepantangan abang Dale mengenai sebutan. Sekiranya membaca berita, sebutan ke atas satu-satu perkataan kena betul dan tepat kerana kita menjadi rujukan orang ramai terutama budak-budak sekolah. Sekiranya kita menyebutnya salah, maka generasi akan datang juga akan salah sebutan. Itu satu tanggungjawab yang dititik beratkan oleh abang Dale. “Dia juga mengingatkan kami semua agar terus bersikap merendah diri walau di mana sahaja berada. Apa yang perlu juga ialah sentiasa menganggap ada kamera di mana-mana agar personaliti diri sentiasa terjaga dengan sempurna. “Apa yang menyentuh hati saya juga ialah abang Dale sangat akrab dengan arwah ibunya. Dia mendahulukan ibunya dalam setiap perkara dan menjaganya sehingga ke akhir hayat. Saya percaya berkat kebaikan ke atas ibunya memberikan abang Dale pengakhiran hidup yang baik pada hari ini.”

NIZAL MOHAMAD 
“Jujurnya, saya tidak sempat bertugas dengan arwah memandangkan abang Dale menamatkan khidmatnya di stesen TV3 pada 1993 manakala saya pula mula berkhidmat setahun selepas itu. “Bagaimanapun, sebagai alumni stesen TV tersebut, arwah sangat menjaga hubungannya dengan barisan personaliti lain meskipun sudah tidak lagi bertugas di situ. “Kami banyak bertanya khabar di media sosial kerana arwah begitu aktif mengemas kini laman Facebook miliknya.”

SUHAIMI SULAIMAN 
 “Allahyarham sangat peramah dan pemurah orangnya. Dia bukan sahaja tidak lokek berkongsi ilmu pengetahuan, malah turut tidak kedekut mengeluarkan wang bagi menjamu rakan-rakan di rumahnya. “Dia sering mengajak sesiapa jua kenalan rapat datang ke rumahnya di Petaling Jaya untuk majlis makan-makan sambil mengeratkan lagi silaturrahim. “Dalam soal kerja, arwah sangat tegas orangnya dan tak boleh main-main. Bagaimanapun, dia cukup profesional.” - Utusan



.

No comments:

Post a Comment