Blog alin

Sunday 10 June 2018

Video pesanan khas Tun Mahathir dan Menteri Pengangkutan sempena sambutan aidilfitri menarik perhatian ramai



Video pesanan khas Tun Mahathir dan Menteri Pengangkutan sempena sambutan aidilfitri menarik perhatian ramai | Sempena sambutan Aidilfitri minggu depan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, menitipkan pesanan khas kepada orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing. Dalam video pendek terbitan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu, Dr Mahathir menasihati mereka berhenti berehat dan tidur sebentar sekiranya mengantuk ketika memandu. Dr Mahathir, 92, yang gemar memandu, juga menasihatkan pemandu berusia seperti beliau supaya tidak memandu kerana khuatir mereka kekurangan tenaga untuk berbuat demikian. "Biasanya orang 90 tahun tak usah bawalah (kereta)... keseronokan saya adalah membawa kereta tapi saya dapat bawa kereta hujung minggu saja, itu pun ada 'driver' (pemandu) di tepi," katanya dalam video yang dimuat naik di laman YouTube semalam.


Pada masa sama, beliau menegaskan pengguna jalan raya yang mempunyai saman harus bertanggungjawab untuk membayarnya. Mengenai kerajaan memberi diskaun saman pada musim raya kali ini, Dr Mahathir berkata: "Kalau saman boleh diskaun, saya ingat ia tak jadi amaran kepada kita." Perdana Menteri juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pengguna jalan raya dan keluarga mereka. Sementara itu, Siew Fook yang turut muncul dalam video sama berkata, kerajaan bukan berniat menyaman atau menyusahkan pengguna jalan raya, sebaliknya sebagai peringatan supaya mereka peka terhadap keselamatan di jalan raya. "Baru-baru ini, saya telah mengeluarkan arahan mengingatkan supaya semua orang kena tukar 'air bag' (beg udara) dalam kereta yang telah recall (dipanggil balik) itu, mereka kena tukar. Kalau mereka tak tukar, kita kena saman," tegasnya.

Selasa lalu, Siew Fook mendedahkan 358,233 kenderaan merangkumi jenama Toyota, Nissan, Honda, BMW, Mitsubishi, Subaru, Mazda dan Lexus belum menukar beg udara Takata yang bermasalah. Mengenai sama ada kerajaan akan melaksanakan peraturan jalan raya baharu, beliau berkata, mereka masih mengkaji keperluan berkenaan. Beliau turut menasihati pemandu dan penunggang bersabar dan berhati-hati ketika berada di jalan raya. "Bagi saya, yang penting apabila kita memandu balik kampung, yang penting dalam fikiran kita kena ingat, kita nak balik berseronok dengan keluarga. "Kalau mengantuk, mungkin kita dengar muzik sikit untuk menceriakan mood dan sebagainya... selamat hari raya, berhati-hatilah di jalan raya," katanya. - BERNAMA



 #TunMahathir #MenteriPengangkutan #sambutanaidilfitri



.

No comments:

Post a Comment